Kenal Tapi Tak Tahu Fungsinya? Kenali Logo Makanan di Malaysia!
Kenal Tapi Tak Tahu Fungsinya? Kenali Logo Makanan di Malaysia
Perasan tak logo yang ada pada bungkusan makanan yang selalu kita beli? Memang ramai antara kita sangat ‘familiar’ dengan logo Halal. Tapi, selain daripada logo halal, terdapat beberapa logo–logo lain penting yang memainkan peranan yang sangat penting.
Mungkin anda pernah lihat logo-logo selain halal seperti Mesti, Autentik, Organik dan GMP. Tapi…anda tahu tak apa maksud dan fungsinya?
Tak tahu? Jom lihat apa maksud dan fungsinya.
Halal
Apabila istilah ini digunakan berhubung dengan makanan, dalam proses perdagangan atau perniagaan, term ‘Halal’, ‘Dijamin Halal’, atau ‘makanan Islam’ atau istilah lain yang menunjukkan makanan adalah halal untuk dimakan oleh orang Islam dan dibenarkan dalam agama mereka, ia mesti bermaksud seperti berikut: makanan yang sesuai untuk dimakan oleh orang Islam.
MeSTI
‘Makanan Selamat Tanggungjawab Industri’ atau MeSTI adalah inisiatif Kementerian Kesihatan untuk setiap pengusaha makanan mementingkankan isu keselamatan dan kebersihan makanan yang mereka hasilkan. Objektif utama mereka adalah untuk memastikan setiap tempat pemprosesan makanan mengikut prosedur penyediaan makanan yang betul serta menjadikan aspek kebersihan perkara paling penting dalam proses penyediaan makanan.
Jadi secara mudah, jika anda nampak sesuatu produk ada logo MeSTI, produk berkenaan sudah mendapat pengiktirafan dari Kementerian Kesihatan.
Autentik
Pensijilan Autentik merupakan pensijilan yang diberikan ke atas produk yang disahkan tulen seperti madu, kopi, sarang burung walit dan daging. Makanan Autentik adalah makanan yang tidak bercampur dengan apa-apa bahan tambah selain daripada bahan tambah yang diperlukan dalam pemprosesan tersebut mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Organik
Skim Pensijilan Makanan Organik adalah satu pengiktirafan, diberikan kepada makanan organik tertentu yang telah memenuhi kriteria pensijilan makanan organik.
Skim ini akan memastikan makanan organik yang dihasilkan adalah selamat dan integriti makanan organik dikekalkan di sepanjang rantaian makanan organik.
GMP
Pengiktirafan Good Manufacturing Practice (GMP) diwujudkan bagi memberi pengiktirafan rasmi kepada industri yang mencapai mengamalkan elemen-elemen GMP sekaligus memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak pengguna. Skim Pensijilan GMP telah dilancarkan untuk memberikan pengiktirafan rasmi kepada premis makanan yang berjaya mengamalkan dan mengekalkan sistem GMP di premis makanan.
Jadi lepas ni, semak logo-logo ini ketika membuat pembelian makanan tau. Pastikan barangan yang dibeli mendapat pensijilan dan pengiktirafan logo-logo di atas. Kalau semua logo tersebut terdapat pada produk yang dibeli, barulah selamat kerana barang yang original, terjamin kualitinya! 🙂