Berdengkur: Ancam Serangan Jantung!
“Penat sangat tu sampai berdengkur dia tidur”
Memang ramai yang beranggapan bahawa kebiasaan orang yang tidur berdengkur ni disebabkan terlalu penat atau tidur dengan sangat lena. Tapi anda tahu tak, tidur berdengkur juga berbahaya dan boleh memberi ancaman serangan jantung untuk anda?
Berdengkur mendedahkan seseorang dengan pelbagai risiko kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi, strok dan serangan jantung secara tiba-tiba serta boleh membawa risiko kematian.
Menurut Perunding Am dan Perubatan Respiratori dan Somnologi, berdengkur atau Apnea Tidur Obstruktif (OSA) atau lebih dikenali sebagai Sleep Apnea terjadi disebabkan kesan penyempitan dalam saluran pernafasan atas.
Ia merupakan keadaan yang berlaku apabila seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur.
Apnea tidur adalah masalah tidur yang serius yang mampu menjejaskan pernafasan dan mengganggu tidur seseorang.
Akibat daripada kesan penyempitan saluran pernafasan atas, ia boleh menyebabkan jantung tidak menerima oksigen yang menyebabkan nadi menjadi cepat. Pada masa sama, jantung perlu bekerja keras dan lama-kelamaan menjadi bengkak yang mengakibatkan tekanan jantung tinggi. Akhirnya serangan jantung boleh berlaku secara tiba-tiba.
PUNCA-PUNCA
- Masalah kegemukan, leher pendek dan besar selain dagu yang bersaiz kecil antara punca penyebab apnea tidur.
- Faktor lain termasuk tonsil yang besar di bahagian tekak, bentuk batang hidung yang bengkok, bahagian dalam hidung yang bengkak dan lelangit lembut yang berkedudukan rendah.
- Selain itu, alkohol juga boleh menyebabkan otot bahagian tekak kendur serta menghalang otak dari bertindak terhadap masalah berpunca daripada tidur.
- Pengambilan ubat-ubatan seperti pil tidur dan ubat penenang, selain tabiat merokok juga mendorong kepada apnea tidur.
GEJALA
- Berdengkur dengan kuat
- Mengantuk pada siang hari
- Nafas terhenti buat seketika ketika tidur
- Kerap berubah posisi ketika tidur
- Rasa lemas ketika tidur
- Sakit kepala pada waktu pagi
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. Ingat, jantung kita… nyawa kita. Jadi sentiasa peduli dengan kesihatan jantung kita tau! 😉