
Bolehkah berat Badan Menurun Tanpa Diet?
Penurunan berat badan yang mendadak tanpa diet bukanlah sesuatu tanda kesihatan yang bagus. Seringkali ianya adalah menjadi petanda kepada masalah-masalah kesihatan yang serius.
Ada juga penurunan berat badan yang berlaku secara mendadak ini disebabkan oleh rutin pemakanan telah berubah kepada yang lebih sihat dan ada peningkatan pada aktiviti fizikal. Namun begitu, ianya bukanlah hanya disebabkan oleh kedua-dua faktor ini saja. Ia boleh juga terjadi disebabkan oleh kondisi kesihatan yang anda perlu ambil perhatian.
Terdapat beberapa kondisi kesihatan yang boleh menyebabkan berat badan menurun secara mendadak dengan tidak sengaja, antaranya adalah:
- Masalah psikologi seperti depresi atau kemurungan
- Diabetes
- Penyakit kronik seperti kanser
Oleh itu, anda disarankan untuk tidak mengabaikan atau mengambil mudah hal ini dan berjumpa dengan doktor terdekat anda bagi mengelakkan sebarang kerumitan yang mungkin berlaku.
- Kemurungan
Apabila seseorang mengalami kemurungan, selera makannya sering terganggu dan tidak tetap sehingga dapat mengakibatkan penurunan berat badan yang mendadak secara tidak langsung. Kemurungan ini dapat mempengaruhi rutin pemakanan seseorang atau mengubah selera makan mereka. Ada yang memang langsung tiada selera sementara ada yang lebih cenderung untuk memakan makanan yang tidak sihat.
‘Emotional stress’ berkait dengan kemurungan dan ianya mampu untuk mempengaruhi berat badan seseorang. Mungkin ada segelintir orang yang akan mengalami masalah pencernaan, loya, mual atau terpaksa sewaktu makan ataupun selepas makan.
Kemurungan ini seringkali diikuti dengan rasa lelah atau lesu, tidak bermaya yang melampau dan boleh mengurangkan tenaga seseorang. Ini akan mengakibatkan seseorang individu itu tidak mempunyai motivasi atau tenaga untuk menyiapkan atau membeli makanan dan akhirnya, rutin makannya terganggu.
- Diabetes
Gangguan metabolik boleh terjadi akibat diabetes dimana mungkin tahap glukosa darah yang tinggi. Ianya boleh berlaku atas kekurangan penghasilan insulin atau tubuh memberi sebarang tindabalas yang betul kepada insulin. Boleh jadi juga ianya kedua-duanya.
Ini membuatkan tubuh berasa lapar dan akan menghasilkan tenaga dengan membakar lemak-lemak dan otot. Akhirnya, berat badan menurun dengan secara mendadak.
- Penyakit Kronik Seperti Kanser
Tahukah anda bahawa kanser perut, kanser esofagus, kanser pankreas dan juga kanser paru-paru adalah antara jenis-jenis kanser yang boleh menyebabkan berat badan menurun secara signifikan?
Dr Khairul menyatakan bahawa bagi mereka yang mempunyai kanser ovari, berat badan boleh menurun secara mendadak dan laju adalah disebabkan oleh ketumbuhan yang membesar berdekatan dengan organ perut. Ianya akan menekan perut seseorang individu itu dan membuatnya makan dalam kuantiti yang sedikit kerana cepat berasa kenyang.
Jika anda sedang mengalami penurunan berat badan yang laju secara tiba-tiba, adalah disarankan untuk anda berjumpa dengan doktor berdekatan anda. Tidak salah jika anda mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan kesihatan anda. Kurus tidak bermakna sihat.