
Kekal Segar, Elak Microsleep
Microsleep boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja terutamanya apabila seseorang itu berasa mengantuk, kepenatan ataupun mengalami keletihan yang melampau. Ia adalah situasi dimana seseorang individu itu akan tertidur pada waktu yang singkat tanpa disedari dengan hanya beberapa saat hingga ke satu minit sahaja.
Otak akan berada dalam keaadan yang tidur ketika microsleep walaupun anda sedang membuat sesuatu aktiviti yang memerlukan perhatian sepenuhnya.
Kejadian microsleep ini adalah amat bahaya terutamanya jika anda sedang memandu kerana ianya adalah sebuah aktiviti yang memerlukan fokus yang tinggi dan boleh menyebabkan risiko keselamatan dan kecederaan yang serius kepada anda.
Terdapat banyak langkah-langkah pencegahan yang anda boleh ambil sebagai langkah-langkah pencegahan microsleep.
- Mendapatkan rehat yang secukupnya.
- Mempunyai teman untuk berkomunikasi.
- Atur perjalanan dengan baik.
- Bertukar pemandu.
Anda perlu mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan anda. Tidur yang secukupnya adalah sekurang-kurangnya 6 hingga ke 8 jam tanpa sebarang gangguan. Lakukan aktiviti seperti membaca sebelum tidur untuk menenangkan minda anda dan sebaik-baiknya elakkan daripada melihat skrin telefon bimbit. Ianya akan membuatkan otak anda lebih aktif. Padam semua lampu dan pastikan keadaan sekeliling anda adalah tenang untuk anda mendapatkan tidur yang nyenyak dan istirehat yang menyegarkan.
Ajak seseorang untuk menemani anda sewaktu anda memandu. Disini anda boleh berbual pelbagai jenis topik dan mungkin mendengar lagu dan menyanyi bersama-sama untuk menghilangkan rasa mengantuk. Keadaan ini akan membuatkan anda lebih fokus dan tidak mengantuk.
Pengaturan perjalanan yang baik adalah penting terutamanya untuk perjalanan yang jauh. Mungkin sebelum ini anda tidur lewat, tetapi pada sehari sebelum perjalanan, anda digalakkan untuk tidur lebih awal. Kemudian, di era teknologi ini, anda juga boleh merancang dengan baik dengan membuat sedikit kajian mengenai perjalanan anda. Perhentian manakah yang terdekat untuk anda istirehat, singgah ke tandas, isi minyak dan sebagainya.
Selain daripada mempunyai seseorang untuk menemani anda, anda juga digalakkan untuk bantu menggantikan anda sebagai pemandu sekiranya anda berasa mengantuk. Dengan ini, anda boleh berehat di kerusi penumpang dan tidur untuk mengisi semula tenaga anda sementara peneman anda memandu untuk meneruskan perjalanan.
Microsleep adalah sangat bahaya di jalan raya kerana anda boleh hilang kawalan kenderaan anda dengan sekelip mata. Walaupun ianya hanya beberapa saat, tetapi microsleep ini mampu untuk merubah hidup anda dengan begitu sahaja.
Banyak nyawa yang telah terkorban akibat microsleep ini. Bukan sahaja pemandu, bahkan penumpang juga.
Jadi, jika anda amat digalakkan untuk berehat seketika di mana-mana perhentian jika anda berasa penat atau mengantuk sewaktu memandu.
Biar lambat, asal selamat.