
Harga Beras Tiba-tiba Naik? Ini yang Anda Perlu Tahu
Kecoh di akhbar dan sosial media tentang kenaikan harga beras dan kekurangan stok beras di pasaran. Terbeliak juga mata bila melihat harga sekampit beras 5kg hampir mencecah RM50.
Namun, pada hakikatnya, harga beras sebenarnya ditentukan oleh berbagai faktor seperti jenama, kelas, jenis, dan sebagainya. Tapi, akhir-akhir ini, harga dikatakan meningkat secara mendadak sehingga membuatkan ramai orang terkejut.
Sekitar 90 peratus dari beras yang ada di pasaran adalah beras putih, baik yang dihasilkan secara tempatan mahupun import. Sementara itu, 10 peratus bakinya adalah beras wangi, beras pulut, basmati, dan jenis beras istimewa lain seperti beras Jepun.
Jadi, apa sebenarnya punca kenaikan harga beras ni? Ini penjelasan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu tentang isu kenaikan harga beras (September 2023);

- Ramai tidak tahu bahawa selama ini ada dua jenis beras yang dijual di pasaran iaitu beras import dan beras tempatan.
- Harga beras import tidak dapat dikawal oleh kerajaan. Ia dijual mengikut harga pasaran.
- Kerajaan hanya mengawal harga beras tempatan iaitu RM2.60 sekilo.
- Harga beras putih import (BPI) ditentukan oleh negara pengeksport beras. Tahun ini harga beras dunia telah naik dengan mendadak berbanding tahun lepas.
- Kenaikan harga beras import menyebabkan permintaan terhadap beras tempatan naik dengan mendadak.
- Banyak peniaga mula beralih kepada beras tempatan bagi menjimatkan kos dan ada yang membelinya dalam kuantiti yang banyak bagi menyimpan stok untuk perniagaan mereka.
- Keadaan ini menyebabkan stok beras tempatan cepat habis dijual di pasaraya.
Jadi, jika ada premis-premis yang cuba menaikkan harga beras yang tidak mengikuti harga standard, kita sebagai pengguna jangan berdiam diri dan biarkan perkara itu terus berlaku.
KPKM telah melancarkan talian hotline 03-8870 1751 / 1748 / 1183 bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat tentang bekalan atau penyelewengan yang dikesan oleh mereka.
Semoga penulisan ini menjawab persoalan dan memberi manfaat untuk kita semua! 😀