
Jangan Biar Depresi Berlarutan, Ayuh Bangkit dengan Cara Ini!
Masalah depresi atau kemurungan bukan lah satu perkara yang boleh dibuat main. Bila kita berdepan dengan tekanan dan cabaran, adakalanya kita mungkin rasa terhimpit dan terbenam dalam perasaan depresi yang menghantui.
Apa yang membimbangkan, depresi boleh menyebabkan kita bertindak luar jangkaan dan membahayakan diri dan orang lain.
Jangan biarkan masalah depresi atau kemurungan terus memonopoli hidup anda. Ayuh bangkit dan atasi masalah depresi dengan cara-cara ini!
1. Bina rangkaian sokongan untuk diri anda
Ada antara kita yang mungkin lebih selesa untuk berhubungan atau berkomunikasi dengan rakan rapat atau ahli keluarga apabila mempunyai sebarang masalah.
Jika anda berasa bahawa ahli keluarga dan rakan-rakan anda boleh memahami dan menyokong diri anda, dapatkan sokongan daripada mereka.
Jika anda mencari alternatif lain, anda boleh menyertai kumpulan sokongan yang ditubuhkan untuk anda meluahkan perasaan, asalkan anda tidak dipengaruhi perkara negatif sehingga mengakibatkan depresi.
2. Perbaiki kualiti tidur anda
Hadapi masalah atau terlalu banyak berfikir memang boleh menyebabkan kita susah tidur malam. Disebabkan itu, ramai antara anda yang tidak cukup tidur. Jangan biarkan insomnia atau masalah sukar tidur ini menganggu anda. Cuba pastikan anda mendapat tempoh tidur yang mencukupi iaitu antara 7 atau 8 jam sehari.
Selain itu, pastikan anda mudah untuk tidur dan dapatkan ‘deep sleep’ yang berkualiti. Jauhkan sebarang gangguan yang boleh menyukarkan anda untuk terlelap atau yang membangunkan anda pada waktu tengah malam.
3. Sibukkan diri dengan kerja rumah
Bila kita dilanda tekanan atau emosi, memang normal untuk kita melayan perasaan sehingga mengabaikan diri dan keadaan sekeliling terutamanya rumah kita. Kerja-kerja rumah seperti mengemop lantai, membasuh pinggan mangkuk tak dipedulikan, rumah pun bersepah.
Keadaan seperti ini hanya akan meningkatkan lagi tahap kemurungan dalam diri.
Oleh itu, cuba lakukan kerja-kerja rumah sangai langkah untuk anda bangkit dan lawan perasaan anda. Lakukan kerja rumah yang ringan terlebih dahulu seperti mengutip sampah dan menyapu bilik tidur.
Apabila keadaan rumah semakin bersih dan cantik, emosi dan mood anda juga pasti akan bertambah baik.
4. Lakukan perkara yang menenangkan anda
Perkara yang dilakukan individu lain tidak semestinya berkesan untuk diri anda.
Ada aktiviti yang mungkin tidak digemari oleh orang lain, tetapi ia adalah sesuatu yang menyeronokkan untuk anda. Jika anda gemar memancing ikan, atau berkebun, jangan fikir panjang dan terus saja lakukannya!
Buat senarai tentang apa lagi yang anda ingin terokai. Kalau aktiviti tersebut perlukan teman, cuba ajak kawan-kawan atau adik beradik. Yang penting, masa anda diisi dengan perkara positif dan baik untuk kesihatan mental anda.
Sekiranya anda mengalami sebarang simptom kemurungan seperti kesedihan yang berpanjangan, dapatkan pertolongan dan sokongan daripada ahli perubatan atau ahli psikologi.
Jangan sesekali anda risau kerana sebenarnya ramai yang sudi menghulurkan bantuan di saat anda berada dalam keadaan yang sukar.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda! 😊