
Influenza Menyerang! Kenal Pasti Simptom-Simptomnya
Badan tiba-tiba terasa lemah, suhu badan naik mendadak sehingga mencecah 39°c? Keliru sama ada ni demam biasa, dijangkiti Covid atau Influenza?Jangan biarkan! Jika anda sudah membuat ujian test kit covid-19 dan keputusannya negatif, terus buat ujian Influenza. Anda mungkin telah dijangkiti virus influenza!
Apa itu Influenza? Umumnya, ramai tahu bahawa influenza ini terbahagi kepada dua iaitu Influenza A dan B. Tapi, tahukah anda? Influenza ini sebenarnya merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti salur pernafasan. Ia boleh menyebabkan gejala jangkitan yang ringan mahupun serius.
Virus Influenza boleh merebak dari seorang individu yang dijangkiti kepada seorang individu yang lain melalui titisan salur pernafasan (respiratory droplets) apabila bercakap, batuk atau bersin. Titisan ini boleh mencemari permukaan dan menyebabkan jangkitan kepada individu yang menyentuh permukaan tersebut.
Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selsema (flu) yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung serta mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain.
Komplikasi akibat jangkitan influenza teruk yang dialami oleh golongan berisiko tinggi ini juga berpotensi untuk menyebabkan kematian.
Demi mengelakkan perkara yang tidak diingini terjadi pada kita dan keluarga, mari kita ketahui simptom-simptom yang dialami oleh pesakit yang dijangkiti virus influenza:
- Demam.
- Sakit kepala.
- Hidung tersumbat.
- Sakit tekak.
- Batuk kering.
- Sakit badan.
- Seram sejuk.
- Rasa lesu dan lemah badan.
Terdapat juga simptom lain yang lazim dialami oleh kanak-kanak seperti loya, muntah dan sakit telinga apabila mereka alami jangkitan selsema teruk.
Anda boleh mengalami simptom influenza di antara 3 hingga 7 hari. Walau bagaimanapun, rasa lesu dan lemah badan boleh dirasai sehingga 2 minggu. Jadi, sepanjang tempoh kuarantin, pastikan anda mendapatkan rehat yang secukupnya serta makan ubat yang diperlukan untuk melawan virus tersebut.
Jadi, sekiranya anda dijangkiti virus ini, pastikan anda minum air secukupnya, pastikan anda kuarantin supaya tidak menjangkiti ahli keluarga lain. Stay safe!