Jantung Lemah: Awasi Petanda Senyap!
Selalu dengar orang sebut tentang masalah lemah jantung, tapi…apa tu?
Penyakit lemah jantung, atau turut dikenali dengan nama kardiomiopati (cardiomyopathy) merupakan sejenis penyakit yang mempengaruhi otot pada bahagian jantung.
Apabila penyakit kardiomiopati menjadi semakin serius, jantung tidak dapat lagi mengepam darah secara normal dan mengekalkan ritmanya.
Oleh sebab itu, pesakit lebih berisiko untuk menghidap penyakit lain seperti kegagalan jantung atau degupan jantung tidak teratur (aritmia).
Selain itu, keadaan jantung lemah ini turut menyebabkan pengumpulan cecair pada bahagian paru-paru, buku lali, kaki ataupun abdomen.
Pengumpulan Cecair Tanda Lemah Jantung
Retensi air pada kawasan buku lali, kaki dan abdomen merupakan masalah besar untuk mereka yang pernah menghidap kegagalan jantung. Pengumpulan cecair pada badan boleh berubah menjadi situasi yang mengancam nyawa dalam sekelip mata.
Selain itu, pesakit yang mengalami peningkatan berat badan dengan ketara perlu berjumpa doktor dalam kadar yang segera. Jangan sesekali tunggu sehingga jatuh sakit. Malah, peningkatan berat badan sebanyak 2.5 kg sudah cukup untuk menandakan sesuatu yang serius.
Ada antara pesakit yang mengalami masalah kegagalan jantung tidak menunjukkan sebarang simptom. Namun, simptom mulai ketara apabila ia menjadi lebih serius. Antara simptomnya adalah:
- Sesak nafas, terutama ketika melakukan senaman
- Keletihan
- Bengkak pada kawasan kaki, buku lali, perut dan leher
- Pening kepala
- pengsan semasa melakukan aktiviti fizikal
- Degupan jantung tidak teratur atau Aritmia
- Sakit dada
Jaga kesihatan jantung anda dengan awasi petanda-petanda senyap ini. Dapatkan rawatan yang sewajarnya dan jangan biarkan ia berlarutan sehingga boleh mengancam nyawa anda. Ingat, jantung kita, nyawa kita. Semoga bermanfaat untuk semua!