
Orang Muda Tak ‘Kebal’ Lagi, Mungkin Alami Serangan Jantung!
“Aku ni muda lagi lah, takkan lah kena sakit jantung!”
Penyakit kardiovaskular atau penyakit jantung ni memang sinonim sebagai ‘penyakit orang tua’ khususnya dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke atas.
Hakikatnya, golongan muda turut berisiko dan tahun demi tahun, semakin banyak kes jantung dilaporkan termasuk golongan remaja.
Menurut Pakar Jantung, Dr Onn Akbar Ali, beliau berkata bahawa trend penyakit jantung di Malaysia berbeza dengan negara barat.
Mengikut definisi negara Barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat, serangan jantung dalam kalangan orang muda ditakrifkan dalam kalangan individu berumur bawah 55 tahun, paling muda sekitar 40 hingga 45 tahun. Namun, di Malaysia, ia tidak relevan kerana terlalu ramai orang yang terkena serangan di bawah usia tersebut.
Buat Pemeriksaan Awal
Salah satu penyebab atau faktor masalah jantung ialah kadar kolesterol yang tinggi dalam badan. Antara faktor lain juga adalah berkaitan genetik.
Oleh itu, pemeriksaan kesihatan amatlah digalakkan sebagai langkah pencegahan awal. Tetapi, ia sebenarnya terpulang kepada individu.
Misalnya, kalau umur anda baru cecah 30 tahun, cukup dengan memeriksa tekanan darah, kadar gula dan tahap kolesterol semasa. Tidak perlu pun jumpa doktor pakar sebenarnya melainkan anda berhadapan dengan simptom-simptom penyakit jantung.
Bagi individu yang ibu bapa mereka ada masalah kolesterol atau kencing manis, anda wajar untuk lakukan pemeriksaan kesihatan. Anda dinasihatkan untuk buat pemeriksaan seawal usia 25 hingga 30 tahun termasuk yang mengalami masalah obesiti.
Jadi, tak kiralah anda masih muda, jangan fikir yang anda ‘kebal’ daripada terkena serangan jantung tau! Ambil langkah pencegahan awal dan lakukan pemeriksaan jantung untuk pastikan tahap kesihatan jantung kita. Lebih baik kita cegah sebelum rebah. Semoga bermanfaat untuk semua!