
Kajian Menunjukkan Pengambilan Protein Antara 1.0-2.0 g/kgBW Dapat Kuatkan Imun Pesakit HIV
Kebanyakan pesakit HIV down sebab rasa HIV ni sebagai ‘penamat hidup’. Apatah lagi sering dimomokkan dengan mitos-mitos HIV. Contohnya sebut sahaja HIV dan Aids benda yang terlintas di fikiran kita ialah sakit, kurus, ada kudis, luka-luka dan macam-macam lagi lah.
Okay, bayangkan badan kita ni macam kereta klasik yang dah lama tak servis. Kalau kereta tu tak cukup minyak, mesti jadi lembab dan kuat meragam, kan? Sama juga dengan badan kita. Kita perlukan pemakanan yang betul untuk pastikan sistem imun kita berfungsi dengan lancar, tambah-tambah pesakit HIV.
Bagi pesakit HIV, makan dengan betul bukan sekadar untuk tambah tenaga, tetapi juga untuk melawan jangkitan dan mengurangkan risiko masalah kesihatan lain.
Dalam artikel ni, kita akan bahaskan makanan apa yang bagus untuk tingkatkan imun badan pesakit HIV.
Kehilangan berat badan boleh jadi masalah besar bagi pesakit HIV. Jadi, nak elak daripada jadi “kurus melidi”, korang kena ambil 35 hingga 40 kalori per kilogram berat badan. Bayangkan kalau korang berat 70 kg, kira-kira 2,450 hingga 2,800 kalori sehari perlu. Berat bertambah sikit alah biasa lah tu tapi jangan sampai jadi bola pulak.
Protein bukan hanya penting untuk bodybuilder. Pesakit HIV jugak perlukan protein untuk kuatkan sistem imun dan jaga otot. Kajian menunjukkan pengambilan protein antara 1.0 hingga 2.0 gram per kilogram berat badan dapat kuatkan imun pesakit HIV.Maksudnya, kalau berat korang 60kg, ambil antara 60 x 1 = 60 gram hingga 60 x 2 = 120 gram protein. Sumber protein boleh dapat dari daging, ikan, telur, dan juga kekacang.
Lemak pun penting juga, tapi jangan over pula hentam makanan berlemak 24 jam. Disarankan lemak kurang daripada 30% daripada jumlah kalori harian. Jadi, kalau sehari korang ambil 2,500 kalori, lemak yang boleh diambil adalah sekitar 750 kalori sahaja. Elakkan lemak tepu macam mentega dan daging berlemak. Lebih baik makan lemak tak tepu seperti ikan, kacang, dan avokado. Lemak ni juga penting untuk bantu korang kekalkan berat badan tau.
Zat besi, selenium, dan zink juga penting untuk sistem imun. Zat besi boleh didapati dalam daging merah dan bayam. Selenium? Cari dalam produk gandum dan daging. Zink? Ambil dari daging, kacang, dan bijirin.
Vitamin A, C, dan B ni bagaikan penyokong utama untuk sistem imun. Vitamin A boleh didapati dalam lobak merah dan mangga. Vitamin C? Cari dalam oren dan strawberi. Vitamin B boleh didapati dari daging dan telur. Kadang-kadang, tambahan vitamin mungkin diperlukan kalau korang tak cukup makan.
Jadi, jangan down-down lagi ye.. Jangan biarkan HIV kawal hidup korang, biar korang yang kawal dia. Jaga kesihatan, banyakkan makan makanan berkhasiat, dan teruskan gaya hidup aktif. Ingat, HIV bukan penghalang untuk korang capai impian korang. Enjoy your life to the fullest and keep moving forward.
Oleh: Aisyah Shuib