Kita Jadi Isteri Kerana Allah SWT
Wanita,apabila kita menerima nikahnya, bermakna kita telah redha menerima jodohnya siapa Suami yang diciptakan untuk kita. Sy percaya mana-mana wanita normal terlahir ke dunia ini, sentiasa impikan sebuah perkahwinan bahagia bersama seorang lelaki yang telah ditakdirkan untuknya sejak di Luh Mahfuz.
Tambahan pula bagi wanita beragama Islam, apabila telah bersuami, merekalah segalanya untuk kita sayangi, dengan harapan kita jugalah yang melengkapi ‘tulang rusuknya’ supaya masing-masing boleh bersenang-senang dengan pasangan.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 21 sebagai berikut:
وَ مِنْ اٰیٰتِهٖۤ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْۤا اِلَیْهَا وَ جَعَلَ بَیْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّ رَحْمَةًؕ-اِنَّ فِیْ ذٰلِكَ لَاٰیٰتٍ لِّقَوْمٍ یَّتَفَكَّرُوْنَ.
Artinya: “dan di antara tanda-tanda kebesarannya ialah dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dia menjadikan diantara kamu rasa kasih dan sayang.”
Namun, bahagia dan kesempurnaan rumahtangga yang diimpikan seharusnya dibatasi kerana pasangan, harta dan anak-anak ialah sebahagian daripada ujian dari Allah SWT (Surah At – Taghabun 14-18). Ironinya, kasih sayang dan cinta sejati itu hanyalah kepada Allah SWT. Hatta sebelum kita menikah, kita telah mempunyai didikan agama secukupnya dari keluarga kita untuk dijadikan panduan hidup walau di mana dan dengan siapa kita berada.
ISTERI “KNOW YOUR LIMIT?”
Kita tidak perlu menjadi Isteri terbaik sehingga rela bersusah payah, berpenat lelah mengejar kesempurnaan kerana sempurna belum tentu bahagia dan ada juga ketidak – sempurnaan yang lebih menenangkan. Sebetulnya, apakah bahagia sebenar yang kita cari?
Janganlah kita meletakkan segala harapan, kecintaan, kebahagiaan hanyalah dengan insan bernama Suami, kerana mereka juga manusia biasa yang diuji. Jika kita Isteri ditakdirkan (ujian kesusahan) susah bersamanya, lapangkanlah dada, bersiap sedialah untuk susah senang bersamanya. Lebih baik jika tidak mengharapkan balasan langsung dari Suami dan anggaplah kita telah menunaikan tanggungjawab sebagai manusia yang mempunyai ihsan.
Kerana kita tidak tahu apakah ada lagi ujian lain mendatang, boleh jadi Suami kita menikah lain apabila senang kelak. Boleh jadi Suami kita sakit, meninggalkan kita selamanya. Segalanya kemungkinan boleh berlaku!
Jika kita berdepan dengan ujian, ambil pendekatan untuk sabar, carilah jalan penyelesaian. Tenanglah, bersangka baik dengan musibah melanda dan rungkaikanlah segala permasalahan dengan bermuhasabah diri. Percayalah, sesungguhnya apa yang didatangkan olehNya, semestinya mengandungi hikmah untuk kita fikirkan. Maka dengan itulah, kita kena sentiasa ingat, kita menjadi Isteri kerana Allah SWT, bukan kerana hidup mati untuk Suami yang juga tiada kesempurnaan.
Jika kita redha, berpegang teguh dengan apa yang disyariatkan, kita akan menjaga diri sebagai Isteri dan sentiasa mengharapkan pertolonganNya. InsyaAllah kita boleh menjadi Isteri terbahagia walau hati kita pernah hancur ibarat kaca terhempas, sekalipun hati kita pernah ‘direnggut’ seperti hampir terputus nyawa!
Baik Suami atau Isteri, tiada yang sempurna. Kita semua diuji. Biarlah cinta kita tetap utuh walau kita diuji, biarlah hati-hati kita tetap menyatu, tetap teguh berjuang atas nama cinta yang disatukan olehNya.
Wahai Isteri-Isteri : cintai, taati Suami kita sepenuh hati kerana kita menjadi Isteri mereka dengan izin Allah SWT. Allah SWT jugalah yang menghadirkan rasa cinta saat kita ditakdirkan menemuinya, ditetapkan hati kita untuk memilih mereka menjadi Suami kita.
Andai kita ditakdirkan untuk dikecewakannya, semua itu juga berlaku dengan izinNya. Tiada guna kita terus menerus berduka cita, bermuram durja, hanyut dengan ujian, melayan kekecewaan sehingga merosakkan diri. Hidup kita semua hanyalah sementara, lambat laun kita semua akan kembali kepada Sang Pencipta.
Tetaplah tenang, carilah hikmah disebalik ujianNya, kerana setinggi mana pun cinta kita terhadap pasangan, tiada cinta Agung melainkan cinta kepada Allah SWT.
Kredit: Syara Syara