![Sikap Pelupa Sebenarnya Baik Untuk Kesihatan?](https://aafiyatcommunity.com/wp-content/uploads/2024/05/CB-OHY-3105-01-850x560.jpg)
Sikap Pelupa Sebenarnya Baik Untuk Kesihatan?
Pernahkah anda rasa diri anda tidak berguna kerana selalu terlupa? Tapi di dunia ini tiada manusia yang sempurna. Walau bagaimanapun, satu kajian oleh Universiti Toronto mendapati bahawa menjadi pelupa sebenarnya baik untuk kebijaksanaan individu.
Salah seorang penulis kajian, Profesor Blake Richards, berkata, “Amat penting bagi otak melupakan perkara-perkara yang tidak relevan dan sebaliknya fokus kepada perkara yang membantu kita membuat keputusan dalam dunia sebenar.”
“Kita tahu senaman boleh meningkatkan bilangan neuron dalam hipokampus, tetapi sesetengah maklumat dari kehidupan kita kadang-kadang tidak perlu dan menghalang anda daripada membuat keputusan yang baik.”
Oleh itu, Prof Richards dan rakannya, Profesor Paul Frankland, mencadangkan agar memori digunakan dengan cara yang meningkatkan kebolehan membuat keputusan. Ini boleh dicapai dengan mengekalkan maklumat berharga dan melepaskan maklumat yang tidak penting, memberikan lebih banyak ruang untuk maklumat-maklumat penting dalam minda.
Contohnya, jika kita tidak ingat maklumat spesifik tentang sesuatu peristiwa tetapi masih mampu mengingati gambaran besar, para penyelidik percaya ia membantu kita menilai semula pengalaman lepas dengan lebih baik.
Namun, jika seseorang tidak dapat mengingati maklumat penting pada kadar yang drastik, itu adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Ini kerana lupa sekali-sekala menunjukkan bahawa sistem memori manusia berada dalam keadaan sihat.
Maklumat yang dilupakan bergantung kepada situasi. Richards menambah, “Satu perkara yang membezakan sesebuah persekitaran yang anda mahu ingat dengan persekitaran yang anda mahu lupakan ialah ketekalan sesebuah persekitaran dan bagaimana ia kembali dalam kehidupan anda.”
Richards melihat cara terbaik untuk mengekalkan memori ialah dengan tidak mengingat semua perkara. Tambahnya, jika seseorang itu cuba membuat keputusan penting, sudah pasti sukar baginya untuk membuat keputusan kerana diganggu oleh maklumat-maklumat yang bukan sahaja tidak penting tetapi bersifat remeh.
Bila anda dah baca fakta ini, janganlah pula anda terlupa perkara-perkara yang sangat penting dalam hidup anda, nanti jadi kes lain pula.
Oleh: Azizul Farhan