Latih Diri Bertemu Ramadan. Ikuti Amalan Ini Sepanjang Syaaban!
Pejam celik pejam celik, nampaknya kita dah makin menghampiri pertengahan bulan Syaaban dan ini menandakan bahawa bulan Ramadan juga semakin dekat.
Kira-kira 25 hari lagi umat Islam akan menyambut bulan puasa dan di dalam bulan Syaaban inilah ramai yang sedang melatih diri untuk lebih beribadah dan mempersiapkan diri untuk bertemu ramadan.
Oleh itu, mari kita ikuti perkongsian di bawah untuk ketahui amalan yang boleh dilakukan sepanjang bulan Syaaban ini!
Amalan Yang Boleh Dilakukan Sepanjang Bulan Syaaban
1. SOLAT AWAL WAKTU
Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah SAW:
أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ “الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ “ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ”. قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ “الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”.
Maksudnya: “Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab: “Solat pada waktunya.” Dia (perawi) bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Jihad pada jalan Allah SWT.” (HR al-Bukhari, hadis sahih)
2. BANYAKKAN ISTIGHFAR
Daripada Syaddad bin Aus r.a., Rasulullah SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. (HR al-Bukhari, hadis sahih)
Selawat dan Bertadabbur
3. BANYAKKAN SELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا.
Maksudnya: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (HR Muslim, hadis sahih)
4. PERBANYAKKAN MEMBACA DAN MENTADABBUR (baca terjemahan) AL-QURAN
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ.
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya). (HR Muslim, hadis sahih)
5. PUASA SUNAT ISNIN KHAMIS
Daripada Saidatina Aisyah r.a. Berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
♦️ NIAT PUASA ISNIN KHAMIS
نَوَيْتُ صَوْمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ / الْخَمِيسِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Isnin / Khamis kerana Allah Taala.”
Semoga bermanfaat dan sama-sama kita beramal dengannya😊