
MERDEKA 2023: Fakta Menarik Tentang Malaysia yang Anda Mungkin Tak Tahu
Kita baru saja menyambut hari kebangsaan negara kita yang ke-66 semalam. Ramai betul yang bersemangat serta turun padang menyaksikan perarakan dan sambutannya di Dataran Putrajaya.
Ada yang siap berkhemah satu keluarga di kaki lima semata-mata untuk sampai awal di pagi 31 ogos. Fuh, memang salute dengan semangat patriotik mereka!
Bersempena dengan hari kemerdekaan semalam, semangat menyambut merdeka pun tak habis lagi, apa kata kita tambah ilmu tentang Malaysia yang mungkin anda pun tak tahu.
Jom lihat fakta-fakta berikut di bawah!
Fakta Menarik Tentang Malaysia yang Anda Mungkin Tak Tahu
1. Jalur Gemilang direka oleh seorang arkitek
Kalau anda nak tahu, bendera Malaysia atau Jalur Gemilang ini telah dicipta oleh seorang arkitek dari Johor bernama Mohamed bin Hamzah selepas menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh Majilis Perundangan Persekutuan yang disertai oleh 373 penyertaan dari karyawan di seluruh negara.
2. Lagu ‘Negaraku’ diambil dari lagu negeri Perak
Sebelum menyambut kemerdekaan, Malaysia tidak mempunyai lagu kebangsaan dan disebabkan ini, Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Negeri telah menganjurkan pertandingan untuk mencari lagu kebangsaan.
Selepas mendapat sebanyak 512 penyertaan, tak ada satu pun yang dirasakan sesuai sehingga beliau memilih untuk mengambil lagu negeri Perak bertajuk ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ dan menulis lirik baru untuk ‘Negaraku’.
3. Aurea Chersonesus
Apa pulak Aurea Chersonesus ni? Haa… kalau anda nak tahu, Aurea Chersonesus ni merupakan nama Malaysia yang tertua tau! Nama ini diberikan oleh seorang ahli geografi, Ptolemy yang bermaksud “semenanjung emas”. Nama ini telah ditemui dalam buku Ptolemy yang ditulis pada 150 Tahun Masihi. Berbelit lidah nak menyebutnya!
4. Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia
Berukuran lebih 743,000km persegi, Pulau Borneo yang dikongsikan di antara Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia ini merupakan pulau ketiga terbesar di dunia selepas Greenland dan New Guinea tau. Ia juga rumah kepada hutan hujan terbesar di dunia.
5. Jam di Malaysia telah ditukar sebanyak LAPAN KALI
Perubahan pertama dibuat pada 1932 apabila jam dicepatkan kepada 20 minit untuk memanjangkan waktu siang, kemudian pada 1941, masa dipercepatkan lagi 10 minit dan di 1942 ia dipercepatkan kepada 2 jam untuk mengikut waktu Tokyo.
Tapi, pada 1945 kita telah kembalikan jam mengikut tahun 1941 dan kali terakhir pada 1 Januari 1982, Tun Mahathir telah membuat perubahan terakhir dengan mempercepatkan masa kepada 30 minit untuk samakan dengan Sabah dan Sarawak dan langkah ini turut diikuti oleh Singapura pada hari yang sama.
Menarik kan fakta-fakta ni? Bila dah tahu, bertambah-tambah rasa sayang kita pada negara. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua!