Pantang Selepas Tampal Gigi
Kalau anda ada masalah gigi berlubang, anda mungkin perlu dapatkan rawatan dan tampal gigi. Tampal gigi berlubang merupakan satu prosedur biasa dilakukan. Namun, selepas prosedur tersebut selesai, pesakit mungkin akan rasa sakit atau ngilu pada kawasan tampalan.
Ramai juga yang tak tau, selepas tampal gigi boleh terus je makan apa-apa yang kita mahu atau perlu lalui proses ‘pantang’ sementara waktu?
Jom ketahui lebih lanjut!
1. Berhati-hati semasa makan
Selepas menampal gigi, anda perlu berhati-hati semasa makan. Antara makanan yang sesuai diambil selepas prosedur ini ialah sup, bubur, telur hancur dan keju lembut. Pendek kata, anda boleh ambil apa sahaja makanan yang lembut dan mudah dikunyah.
Kebanyakan tampalan gigi mengambil masa untuk mengeras. Jadi, anda mungkin perlu tunggu selama 24 jam sebelum mengambil sebarang makanan yang keras.
Namun, jika doktor menggunakan penampal gigi komposit yang mengeras serta-merta selepas didedahkan pada lampu biru, anda boleh makan seperti biasa selepas prosedur tersebut.
2. Elakkan makanan yang kenyal dan keras selama 2 minggu
Anda juga perlu elakkan pengambilan makanan yang keras dan kenyal. Untuk mengelakkan rasa ngilu pada gigi, kurangkan makanan yang panas atau sejuk selama beberapa hari.
Makanan yang kenyal seperti daging juga perlulah ditinggalkan selepas prosedur tampal gigi berlubang.
3. Ambil ubat tahan sakit selepas tampal gigi berlubang
Jika ada rasa sakit, jangan teragak-agak untuk mengambil painkiller. Selalunya, selepas prosedur tampal gigi dilakukan, doktor akan membekalkan ubat tahan sakit sebagai preskripsi.
Walau bagaimanapun, jika kesakitan tersebut berlarutan lebih dari 2 hari, dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin untuk memastikan tiada jangkitan yang berlaku.
4. Berus gigi dan flos
Lepas tampal, tak boleh berus dengan flos ke? Jangan risau! Anda tak perlu berhenti flos atau berus gigi selepas prosedur tampalan. Berus kawasan tampal gigi depan dengan lembut. Selalunya, tampalan tidak akan tertanggal dan anda juga dapat pastikan kawasan tersebut bersih seperti biasa.
Selepas tampalan sembuh, jangan lupa untuk lakukan pemeriksaan rutin bersama doktor gigi anda.
Semoga bermanfaat!😊