Tak Ada Masa nak Bersenam? Jom Buat Senaman Ringan di Pejabat!
“Bila lah berat aku nak turun ni? Makin lama makin naik!”
Memang ramai yang lalui situasi macam ni kan… Bila dah hidup berkeluarga mahupun bujang, tambahan pula bekerja, kesihatan diri pun terabai.
Lebih-lebih lagi bila di pejabat, ada saja kawan-kawan yang nak ajak cuba pelbagai makanan viral sekarang ni. Tahu-tahu, berat makin naik. Aduhh, bahaya ni. Ini boleh menyebabkan risiko obesiti!
Haa… siapa kata tak ada masa? Di pejabat pun, anda boleh saja curi masa 2-3 minit untuk buat senaman ringan tau. Boleh lah regangkan otot-otot yang dah lama fokus buat kerja tu.
Nak tahu? Jom lihat apa senaman yang anda boleh lakukan di pejabat!
Senaman Ringan yang Anda Boleh Lakukan di Pejabat
1.Gunakan tangga
Menaiki dan menurun tangga untuk ke pejabat menyebabkan proses pembakaran kalori berlaku. Berjalan naik turun tangga pada kadar yang sederhana juga boleh membentuk otot di bahagian bawah badan kita dan meningkatkan kadar kesihatan jantung.
2. Leg Raise (Menaikkan/Angkat Kaki)
Dalam keadaan duduk di atas kerusi, angkat kaki ke hadapan di bawah meja dan tahan selama 5 saat. Kemudian turunkan kaki dalam keadaan tergantung tanpa menyentuh lantai. Ulang langkah-langkah ini beberapa kali.
3. Shoulder shrug (mengangkat bahu)
Ini mungkin merupakan salah satu gerakan yang biasa dilakukan sewaktu pemanasan badan sebelum senaman. Tapi, senaman ini juga turut boleh dilakukan di pejabat tau!
4. Back stretch (regangan belakang)
Lebih baik sekiranya anda sedang duduk di atas kerusi beroda yang boleh berpusing. Letakkan tangan di atas meja, cengkamkan dengan kuat. Kemudian tolak kerusi ke belakang sambil regangkan kepala ke hadapan supaya ianya berada di antara lengan anda. Lihat ke arah lantai, kemudian perlahan- lahan tarik badan anda ke depan untuk melengkapi regangan.
5. Standing Leg Curl
Kalau anda nak tahu, kaedah leg curl ni boleh menguatkan urat keting kaki anda tau. Mulakan dengan berdiri dan letakkan kedua-dua belah tangan di bahagian belakang kerusi untuk mengimbangkan badan.
Bengkokkan lutut kanan dan angkat tumit ke atas kearah punggung, tahan beberapa saat dan rendahkan kaki tersebut.
Ulang beberapa kali dan lakukan gerakan yang sama pada kaki kiri.
Lepas ni, dah tak ada alasan lagi lah kan kalau tak sempat nak bersenam? Di pejabat pun anda boleh buat sedikit senaman ringan. Selamat mencuba!😊