
Diet Pemakanan Orang Yunani Kuno
Setiap tamadun mesti ada diet pemakanan masyarakat untuk pastikan kesihatan tubuh badan terjamin, kemudian melahirkan masyarakat yang sihat.
Contohnya tamadun Yunani Kuno yang pernah bertapak di Eropah pada abad ke-12 SM sehingga tahun 600 Masihi.
Walaupun tamadun ini bukanlah yang terawal seperti tamadun Cina, India, Mesopotamia, dan Mesir, tapi Yunani Kuno ialah pelopor dunia Barat yang kita kenal sekarang. Tamadun ini juga melahirkan cendekiawan-cendekiawan terkenal dengan bidang sains, matematik, dan falsafah khususnya seperti Socrates dan Archimedes.
Di sebalik kejayaan tamadun di Eropah ini, rasa-rasanya apakah diet pemakanan masyarakat ini sehingga menjadi contoh kepada kemajuan tamadun di sekitar Laut Mediterranean?
Mula-mula, kita lihat kehidupan harian warga Yunani bernama Agis yang menetap di kota Athens bersama keluarganya. Pada waktu pagi, mereka bersarapan dengan menu yang ringkas: roti barli, wain tanpa gula sebagai pencicah roti, buah zaitun dan buah pokok ara.
Tetapi isteri Agis bersarapan dengan ‘kykeonas’, iaitu sejenis minuman yang diperbuat dari bijiran barli yang telah direbus dan diperisakan dengan daun pudina atau thyme (sejenis pokok herba berkeluarga dengan pokok pudina).
Minuman ini mempunyai khasiat untuk tubuh badan seperti melancarkan penghadaman dan tingkatkan hidrasi. Terdapat banyak jenis kykeonas atau kykeon bergantung cara pemakanan seperti dalam bentuk bubur atau minuman arak yang hanya dinikmati oleh rakyat biasa.
Masuk waktu tengah hari, menu tengah hari Agis agak berat, iaitu lauk ikan seperti ikan kerisi laut, belanak merah, sardin, dan belut. Agis juga memakan kekacang seperti kacang hijau, kacang merah, dan biji-bijian. Roti, keju, buah zaitun, telur, dan buah-buahan juga termasuk dalam menu makanan tengah hari.
Setibanya waktu malam, biasanya kita memakan jumlah yang sedikit apabila menikmati makan malam. Berbeza dengan Agis sekeluarga, mereka menganggap waktu makan malam seperti waktu kenduri dengan menyediakan makanan yang begitu banyak.
Menu utama makan malam ialah daging lembu dan khinzir. Mereka jarang memakan daging kambing kerana kambing tidak banyak diternak. Agis dan kaum lelaki Yunani gemar berburu. Jadi jika Agis dapat menangkap rusa atau burung puyuh, itulah makan malam mereka.
Mereka juga sajikan lauk siput laut. Siput laut agak istimewa untuk keluarga isteri Agis kerana mereka berasal dari Pulau Crete yang rakyatnya memakan siput sejak turun-temurun, bermula dari tamadun Minoa pada tahun 2,000 SM.
Buah-buahan juga termasuk dalam menu makan malam Agis sekeluarga. Mereka sediakan buah pear, delima, ara, beri, ceri, dan plum. Hanya buah-buahan Ini saja mereka sediakan kerana kesemua buah ini biasa ditanam di Eropah.
Sayur-sayuran juga disajikan dan biasanya sayur-sayuran ini mereka peroleh dari kebun sendiri seperti daun salad, timun, kacang pea, seleri, daun pudina, dan sayur artichoke. Cendawan, asparagus, dan daun adas juga mereka sajikan namun sayur ini mereka tidak tanam, sebaliknya mereka petik dari sungai atau padang rumput.
Jangan lupa roti, makanan ruji orang Yunani Kuno. Keluarga Agis sediakan masakan berasaskan roti seperti laganas dan roti semolina. Akhir sekali, mereka sajikan pencuci mulut bernama ‘teagimata’ yang diperbuat dari buah kering atau segar seperti buah ara, kacang walnut, dan anggur, kemudian campurkan dengan madu sebagai pemanis.
Cara orang Yunani Kuno memasak makanan ialah mereka menggunakan oven buatan sendiri. Setiap masakan harus menggunakan oven. Mereka juga suka perisakan makanan mereka dengan rempah-ratus berupa daun seperti oregano, pudina, basil, thyme, ketumbar, dan bijan.
Setiap sajian yang dihidang wajib disediakan bersama dua sajian utama: wain dan buah zaitun kerana kedua-dua sajian ini dianggap sebagai makanan milik dewa-dewi. Seperti pokok zaitun milik dewa Athena yang telah kalahkan dewa Poseidon dalam memiliki kota Athens, kemudian hadiahkan buahnya kepada rakyat Athens.
Walaupun menu masakan Yunani Kuno penuh dengan kepelbagaian, mereka hanya memakan kuantiti yang sikit saja kerana mereka percaya makanan hanya hilangkan kelaparan, bukannya untuk kenyangkan perut. Sebab itu kita jarang temui catatan tentang mana-mana warga Yunani Kuno yang mengalami obesiti!
Lagi satu, warga kota Sparta mempunyai diet pemakanan yang berbeza dengan warga Yunani lain kerana kehidupan mereka sebagai tentera yang lasak. Menu masakan mereka biasanya hanya secawan ‘Sup Hitam’ bersama sekeping roti.
Sup Hitam ialah sejenis sup yang diperbuat dari daging khinzir dan darah yang telah direbus dan diperisakan dengan garam dan cuka. Sup ini boleh dijadikan sebagai makanan ruji tentera atau jamuan menyambut hari kejayaan. Apabila menyambut hari kejayaan, orang Sparta menikmati daging khinzir rebus, wain, dan memakan pai.
Ini diet pemakanan orang Yunani Kuno yang penuh dengan kepelbagaian. Mungkin kita boleh contoh gaya pemakanan mereka yang hanya memakan sedikit dan lebihkan memakan buah zaitun, kykeon, dan roti.
Oleh: Dinie Liow (Dans)