El Nino Kembali Lagi! Ini Tips Lindungi Diri untuk Anda Kekal Sihat!
Anda semua masih ingat dengan fenomena yang bernama ‘El-Nino’ ini? Hampir setiap tahun, fenomena ini pasti melanda Malaysia.
Mesti anda sekarang berdepan dengan keadaan atau suhu semasa yang ‘extra’ panas berbanding biasa kan?Ini lah yang dinamakan ‘El-Nino’. Macam mana ia boleh terjadi?
Secara meteorologinya, fenomena El-Nino juga dikaitkan dengan rentetan fasa permulaan peralihan monsun yang adakalanya menyebabkan hujan lebat serta ribut petir terutamanya pada lewat petang hingga malam.
Kesan El-Nino pada Kesihatan Awam
Antara risiko kesihatan yang sering dikaitkan dengan El-Nino termasuk kegagalan fungsi organ badan akibat suhu teras badan melebihi 40°C (heat stroke), keletihan dan kelesuan, pitam atau pengsan dan kekejangan otot.
Sekiranya gejala-gejala awal ini tidak diberikan perhatian segera dan serius, serta rawatan sewajarnya maka risiko kematian adalah sangat tinggi.
Selain daripada itu, banyak kajian epidemiologi juga mendapati masalah kesihatan kardiovaskular juga mempunyai perkaitan dengan keadaan suhu panas melampau.
WHO (World Health Organisation) mencadangkan kesan kesihatan awam yang terkait dengan fenomena El-Nino adalah seperti peningkatan penyakit respiratori dalam kalangan kanak-kanak dan kumpulan yang berisiko (asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selesema), peningkatan penyakit bawaan vektor (penyakit berjangkit), tekanan psiko-sosial, isu keselamatan dan kebolehdapatan sumber makanan.
Tips Lindungi Diri untuk Anda Kekal Sihat!
- Pakai pakaian yang ringan, bermaterial 100% kapas, longgar dan berwarna cerah
- Hadkan diri daripada melakukan aktiviti luar
- Pakai alat pelindung matahari seperti cermin mata hitam, topi atau payung yang besar untuk melindungi anda daripada sinaran matahari
- Minum air kosong dengan banyak. Jangan tunggu sehingga anda berasa dahaga
- Mandi atau gunakan kipas untuk menyejukkan tubuh badan anda ketika cuaca panas di Malaysia
- Memakai losyen pelindung matahari: Amalkan pemakaian sunblock apabila keluar dari rumah. Pastikan anda sapu sunblock sekurang-kurangnya 20 minit sebelum berjemur. Kepekatan minimum yang harus digunakan ialah SPF 15
- Perubahan pada gaya hidup: Mungkin sesetengah daripada anda suka akan idea untuk kelihatan tan hingga sanggup berjemur beberapa jam di bawah cahaya matahari. Tahukah anda perbuatan ini mampu meningkatkan risiko terkena penyakit kanser kulit? Jangan pula sebab nak cantik, sakit pula yang dapat!
- Jangan bersenam atau melakukan aktiviti dalam cuaca yang terik: Anda dinasihatkan untuk tunggu sehingga cuaca redup jika mahu beriadah di luar rumah terutamanya jika anda bersama keluarga. Ini kerana kanak-kanak lebih berisiko terhadap kesan ini.
- Jangan ambil minuman yang mengandungi alkohol, berkafein serta bergula tinggi: Minuman seperti kopi, air berkarbonat dan beralkohol harus dielakkan sekiranya anda bakal melakukan aktiviti di bawah matahari
- Jangan berada di dalam kereta yang tertutup tanpa membuka tingkap atau penyaman udara: Jika anda tinggalkan seseorang di dalam kereta, pastikan dalam keadaan yang tidak panas dan mempunyai aliran udara yang baik.
Jaga diri dan semoga bermanfaat untuk anda! 😊