
Poligami Bahagiakan Suami? Perbaiki Dulu Hubungan Suami Isteri
“Apa, nak kahwin satu lagi?” 😠
Memang hangat betul isu poligami sekarang ni. Kaum wanita lah yang terpaling emosi bila terbangkit sahaja isu tentang rumah tangga, penceraian dan poligami ni.
Satu persoalan yang sering menjadi tanda tanya kaum wanita, kenapa perlu tambah isteri kalau dah ‘cinta mati’?
Kalau rumah tangga dah bagai telur di hujung tanduk, kan lebih baik kalau perbaiki hubungan suami isteri. Jom ikuti tips di bawah untuk perbaiki hubungan suami isteri!
Tips Perbaiki Hubungan Suami Isteri
- Berbincang untuk Setiap Perkara
Lain orang, lain ragam. Begitulah hidup di alam perkahwinan. Betul, memang ada pasangan yang pantang buka mulut, ada saja bahan yang boleh dijadikan pergaduhan.
Mesti anda tak mahukan hubungan yang sentiasa tegang dengan pasangan kan? Takkan 10 tahun kahwin, hari-hari nak gaduh? Jadi, berbincanglah dengan pasangan anda secara baik dan telus.
Bincangkan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah ke perkara yang besar. Antara perkara kecil yang boleh dibincang seperti nak makan kat mana, mana nak hantar anak sekolah, apa lagi yang boleh diperbaiki dalam hubungan dan macam-macam lagi perkara yang boleh dibincangkan.
Bila adanya perbincangan atau komunikasi ini, maka pasangan tahu pendapat masing-masing. Pergaduhan pun dapat dielakkan bila sama-sama fikirkan solusi.
Ingat, bahawa berbincang ni bukan untuk bergaduh. Berbincang untuk improve hubungan supaya rumahtangga lebih aman damai dan kekal sehingga ke akhirnya. Bukannya bila gaduh je, fikir nak berpisah dan mula hidup baru dengan orang lain!
- Jangan terus ‘serang’ pasangan
“Awak ni fikir diri sendiri je. Ingat saya ni tak penat ke?”
Dan bermulalah episod bertikam lidah antara suami isteri…
Kata nak hidup sampai hujung nyawa, tapi belum apa-apa dah serang tak ingat dunia 🤯
Jangan… Jangan serang pasangan anda dengan menembak mereka dengan statement penuh emosi.
Walaupun anda penat baru balik kerja dan perlu berbincang hal penting dengan pasangan, jangan balas dengan emosi yang boleh menyebabkan pergaduhan besar.
Sebaliknya, minta masa untuk bertenang seketika dan balas dengan baik pada pasangan anda. Anda boleh membalas dengan berkata, “Saya penat sangat sekarang.
Nak rehat dulu. Kita bincang nanti ok?”. Haa, kan manis tu. Pasangan pun sejuk hati nak berbincang bersama. Paling penting, pergaduhan pun tak tercetus.
Jaga Hati Pasangan
- Berlapik dalam berbicara
Nak tegur pasangan boleh, tapi kenalah pada cara yang. Contohnya, anda dah lama simpan perasaan tentang pasangan anda, nak tegur depan-depan takut kena marah. Jadi, anda boleh gunakan teknik ini di mana anda memuji dulu pasangan anda.
Kemudian, anda selitkan teguran dan akhiri dengan pujian lagi. Contohnya begini, “Saya suka penampilan awak. Segak je. Nanti pakai lah deodarant hari-hari. Bila settle bau badan, confirm A+!”
Bila anda tegur berlapik macam ni, tak adalah terasa hati pasangan anda, mesej teguran pun sampai ke hati mereka. Kalau anda terus ‘bagi’ je, get ready lah nak perang dunia ketiga!
- Beli Jiwa Pasangan
Baik lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai cara atau teknik yang berbeza untuk ‘beli jiwa’ mereka. Wanita lebih cenderung untuk ditambat hati mereka melalui pujian, lelaki pula mudah untuk ditambat hati mereka dengan penghargaan.
Bila adanya sesi ‘beli jiwa’ sesama suami isteri begini, pergaduhan pun dapat dielakkan. Masing-masing pun lebih rasa dihargai, disayangi dan nilai perkahwinan pun kekal berharga.
Jadi, perbaiki dulu hubungan suami isteri yang sedia ada ni. Poligami memang membahagiakan suami, tapi lebih baik jika hubungan suami isteri yang telah dibina sentiasa ditambah dengan kebaikan dan dijaga hingga akhir hayat. Semoga bermanfaat! 😉