
Bagaimana Diet Boleh Membantu Mencegah Nyanyuk?
Seiring dengan pertambahan usia dan proses penuaan, tabiat makan individu juga boleh berubah akibat daripada perubahan fisiologi, psikologi dan sosial. Perubahan ini boleh berlaku pada tahap yang berbeza, iaitu perubahan dalam pilihan makanan, perubahan tabiat makan dan perubahan dalam pengambilan diet.
Pilihan makanan ini termasuklah tingkah laku dan faktor lain yang berlaku sebelum makanan itu dimakan, seperti keutamaan makanan dan penyediaan makanan. Tahap kedua, tingkah laku atau tabiat makan, mengumpulkan semua perkara yang berkaitan dengan pengambilan makanan seperti tabiat makan dan gangguan makan. Yang ketiga pula, pengambilan makanan merujuk kepada apa yang diambil, dari segi pengambilan global dan nutrien khusus.
Sesetengah corak pemakanan tertentu dikatakan boleh menjadi faktor perlindungan kepada beberapa patologi berkaitan penuaan seperti masalah demensia atau nyanyuk. Malah, beberapa tingkah laku dalam pemakanan juga boleh dikaitkan dengan permulaan gejala demensia.
Golongan tua adalah kumpulan yang mudah terjejas dari segi pemakanan mereka, hasil interaksi daripada pelbagai faktor. Salah satunya adalah keadaan yang dipanggil ‘nutritional frailty’ atau kelemahan aspek pemakanan. Contoh bagi keadaan ini adalah ketidakupayaan dari sudut kewangan bagi memenuhi keperluan pemakanan mereka, serta kesunyian dan terasing secara sosial yang menyebabkan kurangnya penyediaan makanan buat mereka yang boleh membawa kepada kemurungan atau penyakit kronik yang memburukkan lagi pemakanan mereka.
Pilihan diet orang tua juga banyak dipengaruhi oleh selera makan mereka yang terjejas akibat gangguan pada deria rasa dan bau. Orang tua juga menunjukkan perubahan dalam tidur, iaitu kuantiti dan kualiti tidur yang kurang, dan peralihan ke arah bangun lebih awal, bermakna mereka juga akan makan lebih awal berbanding ketika usia muda. Gangguan jam genetik ini, digabungkan dengan perubahan fisiologi lain semasa proses penuaan, seperti kehilangan jisim otot rangka, boleh membawa kepada disfungsi metabolisme glukosa dan lipid serta perkembangan obesiti ‘sarcopenic.’
Demensia adalah sindrom yang berkaitan dengan usia akibat beberapa gangguan yang menjejaskan sistem saraf pusat. Demensia neurodegeneratif biasanya berlaku terutamanya pada orang yang berumur lebih daripada 65 tahun dan dicirikan oleh kemerosotan kognitif yang progresif dengan akibat ke atas pelbagai aspek kehidupan seharian yang membawa kepada kehilangan fungsi harian dan gangguan tingkah laku. Bentuk demensia yang paling biasa di seluruh dunia ialah penyakit Alzheimer (AD) manakala demensia frontotemporal (FTD) adalah penyebab biasa bagi demensia peringkat awal.
Gangguan bukan kognitif, tingkah laku dan psikiatri seperti sikap tidak peduli, pergolakan, kemurungan, psikosis, perubahan selera makan dan gangguan tidur adalah aspek utama yang biasanya dinilai untuk diagnosis demensia. Sepanjang tempoh mengalami demensia, pesakit boleh menunjukkan perubahan diet dan gangguan makan yang pelik, terutamanya pada peringkat awal dan pertengahan.
Jadi, persoalannya, bolehkah makanan atau corak diet tertentu mengawal atau mencegah gejala demensia ini?
Banyak kajian mencadangkan bahawa apa yang kita makan sebenarnya mempengaruhi keupayaan otak kita yang semakin tua untuk berfikir dan mengingat. Penemuan ini telah membawa kepada penyelidikan tentang corak pemakanan umum dan sama ada diet seseorang mungkin memberi perbezaan dalam situasi ini.
Bagaimana apa yang kita makan boleh menjejaskan otak kita? Ada kemungkinan bahawa diet atau makanan tertentu yang kita ambil akan mempengaruhi mekanisme biologi, seperti tekanan oksidatif dan keradangan, yang jadi punca kepada demensia. Pengamalan diet tertentu mungkin meningkatkan nutrien tertentu yang boleh melindungi otak melalui sifat anti-radang dan antioksidan.
Dalam beberapa kajian, para penyelidik mencadangkan diet-diet yang boleh diambil sebagai langkah pencegahan kepada masalah demensia. Satu daripadanya ialah diet jenis Mediterranean yang asasnya mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang, ikan dan makanan laut lain, lemak tak tepu seperti minyak zaitun, dan daging merah dalam jumlah yang sedikit dan telur. Kajian mengenai diet ini menunjukkan potensinya untuk memperlahankan penurunan kognitif, mengurangkan risiko demensia, dan mengurangkan kerosakan yang berkaitan dengan otak. Ada juga kajian yang menunjukkan bahawa diet yang memasukkan pengambilan ikan secara tetap ada kaitan dengan fungsi kognitif yang lebih tinggi dan memperlahankan fungsi kognitif yang menurun kerana usia.
Sehingga ke hari ini, banyak cadangan diet yang dikemukakan bagi mencegah proses penuaan dan gejala demensia. Namun, apa yang paling utama, pengambilan diet seimbang haruslah bermula dari peringkat umur yang muda bagi menjamin kesihatan yang optimum ketika pertambahan usia.
Oleh: Farahi Kamaruddin